JUN 2022

Kerajaan Tubuh Dua Agensi Pembangunan Baharu


KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menubuhkan dua agensi pembangunan baharu seperti enam agensi yang ditubuhkan terdahulu, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, agensi berkenaan ialah Agensi Pembangunan Lembah Rejang (RDDA) dan Agensi Pembangunan Betong (BDA).

RDDA boleh dikatakan sebagai generasi baharu RASCOM (Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rejang) meliputi kawasan dari Daro, Pulau Bruit dan Jemoreng hingga ke Mukah, katanya semasa menggulung perbahasan dan penangguhan Perhimpunan Agung Ke-15 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Perhimpunan agung parti itu melabuh tirainya semalam setelah 2,420 perwakilan serta pemerhati daripada 82 cawangan berkampung di BCCK mulai 17 hingga 19 Jun lalu.

Abang Johari yang juga Yang di-Pertua Parti PBB berkata, RDDA akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rejang, Datu Len Talif Salleh.

“Bagi kawasan Betong, Kerajaan GPS turut menubuhkan sebuah agensi pembangunan yang baharu dan saya telah meminta Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah untuk menentukan sempadannya termasuk kawasan Kabong, Kalaka dan Maludam,” katanya.

Abang Johari menegaskan, dua agensi itu adalah sebagai tambahan kepada enam agensi yang sedia ada iaitu Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Samarahan Wilayah Bersepadu (IRSDA), Agensi Pembangunan Sri Aman.  (SADA), dan Agensi Pembangunan Terkoordinasi Greater Kuching (GKCDA).

Dengan penubuhan agensi-agensi tersebut akan membolehkan urusan dan merancang pembangunan di seluruh negeri ini berjalan dengan cepat dengan setiap agensi diperuntukkan RM1.5 bilion setahun, tegas beliau.

“Kita menubuhkan agensi ini disebabkan Sarawak hanya memiliki satu wilayah tidak seperti di Semenanjung yang memiliki negeri seperti Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Pahang dan seterusnya,” tambahnya.

Dalam pada itu, Abang Johari turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta untuk kemudahan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menampung RM30 juta yang diluluskan terdahulu.

Premier Sarawak turut mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk menaik taraf jalan balak dan membina jalan dari Marudi ke Lorong Terawan.

Mengenai permohonan perwakilan supaya Kerajaan GPS memperkenalkan bas sekolah percuma di luar bandar, beliau berkata, perkara itu memang dalam agenda Parti PBB selepas percubaannya dilaksanakan di Kuching, Miri dan Sibu berjaya.

Sumber dari : Jiwa Bakti